“For you, a thousand times over” (Spoiler alert?)

“Awak..”
“Jom tengok The Kite Runner?”
Aku yang sedang menarik-narik rambut dan menumbuk-numbuk meja disebabkan kelembapan talian Smart Telecom terhenti seketika, cuba mengingat bila kali terakhir aku pergi berdua-duaan menonton filem di panggung wayang. Lama sudah. Filem Terminator 3: Rise of The Machines dimainkan oleh projektor memori.
Aku tenung Acab di sebelah yang sedang membaca blurb naskah karya sulung Khaled Hosseini.
“It’s a date.”
Acab. Kalau kamu tak jumpa dia di seminar-seminar atau forum-forum pelajar di sana, kamu mungkin boleh cari dia sedang bermesyuarat dengan ahli-ahli jawatankuasa lain untuk merancang seminar-seminar atau forum-forum pelajar di sini; di bawah panji Federasi Persatuan-Persatuan Islamik Pelajar UK dan Ireland.
Aku. Besar kemungkinan kamu boleh cari aku dalam bilik, membelek-belek helaian National Geographic lama dan memakan keropok rangup Pringles Cheese & Onion yang selalu aku beli di Dunnes Stores.
Kami. Dua jejaka tampan yang mempunyai corak pemikiran yang berlainan dan matlamat yang tak sama. Tapi kita memerlukan semua jenis orang dalam dunia ini. Setiap Dick, Ali, Nur Fazura dan Tamarai memberi pengajaran dan bimbingan walaupun secara tak langsung dan tanpa disedari. Begitulah tali persahabatan aku dan dia. Mungkin bukan BFF, tapi satu persahabatan nonetheless.

Persahabatan antara Amir dan Hassan pula merupakan tulang belakang kepada kisah The Kite Runner. Amir ialah anak orang kaya dan berpengaruh berdarah Pashtun. Hassan pula ialah anak orang suruhan berdarah Hazara. Pendek kata; bak minyak dan air, puak Pashtun tidak bercampur dengan puak Hazara. Bagaikan minyak dan air juga, satu berada di atas dan satu di bawah.
Dr. Khaled dengan elegan telah menonjolkan tema tali persaudaraan, kepentingan maruah yang melebihi segala-galanya, pengkhianatan, sesalan, lembaga-lembaga hitam dari masa silam yang tidak jemu-jemu menghantui dan tak dapat dihapuskan oleh masa mahupun jarak; beriklimkan Kabul pada hujung 1970-an, semasa penaklukan tentera Soviet dan semasa dikuasai pihak Taliban.
Lumrah filem-filem yang diadaptasikan daripada novel, sudah tentu 112 minit tidak mencukupi untuk memuatkan keseluruhan isi buku termasuklah back-stories tentang ibu Hassan, lawatan ke rumah abang Farid dan kejadian menyayat hati yang berlaku kepada Sohrab serta bibit-bibit stream of consciousness daripada watak-watak.
Namun, grup produksi telah berjaya menadah intipati novel, memerap sutradara dan menghasilkan filem ini dengan cukup baik hinggakan aku rasa dapat melembutkan hati-hati purists yang paling tegar sekalipun.
Permainan layang-layang. Satu aktiviti rekreasi berprestij di Kabul. Ia juga adalah tali yang mengikat Amir dan Hassan, walaupun setelah bertahun-tahun.
The Kite Runner yang disebut-sebut pada tajuk kisah ini telah mengejar satu layang-layang dalam hampir sepanjang tahun-tahun itu. Layang-layang yang berwarnakan kemaafan dan ketenangan jiwa dengan jalur-jalur kebahagiaan.
Layang-layang yang kita sendiri sedang kejar, aku kira, hingga ke hujung nyawa.
Langgan RSS
4 pesanan